Masalah tunggakan gaji nyata tidak hanya melanda saingan Liga Malaysia dimana saingan bola sepak negara jiran iaitu Liga 1 Indonesia turut menghadapi masalah sama dimana salah satu kelab, PSM Makassar dikhabarkan gagal membayar gaji kepada pemain dan pegawai pasukan.

Baru-baru ini, ketua jurulatih pasukan, Bernardo Tavares mengambil langkah untuk melelong baju serta trofi Anugerah Jurulatih Terbaik Liga 1 bagi membantu pemain dan pegawai pasukan yang sudah lama tidak menerima gaji.

Dalam satu sidang media sebelum turun menentang Barito Putera, Tavares membuka bidaan kepada mana-mana pihak yang berminat bagi membeli baju serta trofi miliknya.

“Seperti yang anda semua tahu, kita sedang berada dalam kesukaran ketika ini. Ada beberapa barang di sini. Anda boleh memberikan tawaran.

“Ada baju yang saya pakai ketika membantu PSM muncul juara Liga 1 musim lalu serta trofi Pengurus Terbaik musim lalu.

“Hasilnya akan saya berikan kepada staf dan pemain. Ini untuk menunjukkan kepada mereka bahawa kita dalam posisi saling membantu,” kata Tavares.

Selain baju dan trofi, Tavares juga akan memberikan tiket kepada individu yang membeli barang yang dilelong.

“Saya akan berikan tiket VIP untuk perlawanan menentang Madura United. Jadi saya jemput anda yang berminat untuk membuat bidaan. Dan jangan lupa datang ke stadium setiap perlawanan,” tambahnya.

Menurut laporan media tempatan, PSM Makassar ketika ini berdepan dengan krisis kewangan yang serius dimana pasukan itu mempunyai hutang yang mencecah sehingga ratusan juta ringgit.

Ini kerana pihak kelab berdepan kesukaran untuk mencari penaja bagi menghadapi saingan musim 2023/2024 meskipun pasukan itu merupakan juara bagi saingan musim 2022/2023.

Selain itu, kurangnya penyokong yang hadir ke stadium menyukarkan lagi pihak kelab untuk mencari pendapatan.

“Peminat tidak lagi datang ke Pare-Pare. Kami tidak memiliki penaja dan kalau penyokong tidak membantu kelab, saya tak tahu uapa yang akan terjadi.

“Jika kamu semua bangga dengan kelab ini, maka bantulah kelab anda. Datang ke stadium setiap kali perlawanan sekaligus bantu kelab dapatkan penaja,” tambahnya.